Memperkukuh kerjasama rentas ASEAN, menerima inovasi kesihatan digital





Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi






BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 7 November. -   Kadar keseluruhan retinopati diabetik di Negara Brunei Darussalam (NBD) kini dianggarkan sebanyak 22.6 peratus, berbanding kadar global sebanyak 27 peratus, dengan 9.7 peratus  dikenal pasti sebagai retinopati diabetik yang mengancam penglihatan.


Pada 2014, sebanyak 7,700 pesakit  telah disaring di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan klinik-klinik, manakala menjelang 2017, jumlah berkenaan meningkat kepada  11,000,  mencerminkan peningkatan akses sebanyak  40  peratus  hanya dalam tempoh tiga tahun.


Berdasarkan kemajuan berkenaan, Kementerian Kesihatan telah mengintegrasikan alat saringan berasaskan  Kecerdasan Buatan  (AI)  ke dalam perkhidmatannya, termasuk di klinik bukan oftalmologi seperti klinik endokrin, bagi memastikan pesakit tidak terlepas daripada saringan semasa pemeriksaan perubatan rutin mereka.


Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar mengongsikan demikian semasa berucap pada Majlis Pembukaan Kongres Oftalmologi ASEAN Ke-7 (AOS 2025) berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di sini.


Jelas Yang Berhormat, sejak  Oktober 2024,  lebih daripada  19,800 individu  telah disaring menggunakan teknologi AI, dengan mencapai  lebih 80  peratus  kepekaan  dalam mengesan retinopati diabetik yang mengancam penglihatan.


"Yang penting, kira-kira  17  peratus  daripada mereka yang disaring dikenal pasti berada pada peringkat awal penyakit, manakala sekitar  lima hingga enam peratus  dikenal pasti memerlukan rawatan aktif, iaitu pesakit yang mungkin sebelum ini tidak dikesan.


"AI telah mengubah kecekapan sistem saringan kita, mengurangkan masa menunggu, mempercepatkan rujukan, dan membolehkan pakar oftalmologi memberi tumpuan kepada intervensi yang menyelamatkan penglihatan.


"Inovasi ini meningkatkan akses, mempercepatkan diagnosis, dan akhirnya membantu mencegah kebutaan yang boleh dielakkan di seluruh negara," jelas Yang Berhormat.


Yang Berhormat juga menekankan kepentingan kerjasama serantau, pembangunan kapasiti serta akses kesihatan yang saksama di seluruh ASEAN.


Untuk melangkah ke hadapan tambah Yang Berhormat, kita perlu memperkukuh kerjasama merentasi ASEAN dan juga di peringkat global, kita perlu melabur dalam pembangunan tenaga manusia serta membimbing generasi baharu pakar mata, kita harus menerima inovasi dalam kesihatan digital, dan kita mesti memastikan kesaksamaan supaya rawatan yang menyelamatkan penglihatan dapat dicapai oleh semua, di mana sahaja mereka berada.


Apabila kita bekerjasama kata Yang Berhormat lagi, kepakaran kolektif kita menjadi satu kekuatan yang memberi impak besar di rantau ini dan seterusnya.


"Selaras dengan  Wawasan Brunei 2035,  matlamat kita adalah untuk mencapai sebuah negara yang makmur, inklusif, dan berdaya tahan.


"Penglihatan adalah salah satu anugerah terbesar dalam kehidupan, dan melindunginya merupakan satu tanggungjawab serta keistimewaan," tambah Yang Berhormat.


Dalam ucapannya, Yang Berhormat juga mengiktiraf komitmen Persatuan Oftalmologi Brunei (Brunei Ophthalmology Society) atas dedikasi dan usaha berterusan dalam memajukan kesihatan mata melalui pembangunan profesional, inovasi dan program khidmat masyarakat.


Kongres Oftalmologi ASEAN merupakan perhimpunan profesional penjagaan mata yang paling berprestij di rantau ini, berperanan sebagai platform untuk memperkasa sains penglihatan, penyelidikan dan amalan klinikal dalam kalangan Negara-negara Anggota ASEAN.


Bertemakan 'Vision Beyond Borders : Bridging Regional Expertise, Elevating Eye Care for All', kongres berkenaan menzahirkan semangat ASEAN, iaitu Satu Wawasan, Satu Identiti, Satu Komuniti melalui kerjasama dan perkongsian ilmu dalam bidang oftalmologi.


Majlis pembukaan dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi dan Presiden Kongres Oftalmologi ASEAN Ke-7, Dr. Hajah Helena binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Hurairah.


Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya menyempurnakan Majlis Pembukaan Kongres Oftalmologi ASEAN Ke-7.


Diikuti dengan tayangan video pelancaran rasmi yang menandakan penganjuran bersejarah AOS 2025 di NBD.


Seterusnya, ucaptama disampaikan oleh Profesor dan Pengerusi Oftalmologi di Kolej Perubatan, University of Philippines, Manila serta Ketua Pakar Bahagian Kornea di Philippine General Hospital, Profesor Ruben Lim Bon Siong, yang bertajuk 'Corneal blindness in ASEAN : Ongoing Challenge'.


Serentak dengan kongres berkenaan, turut diadakan tiga mesyuarat oftalmologi utama, iaitu Mesyuarat Bersama Oftalmologi Republik Singapura - Malaysia Ke-38, Mesyuarat Kumpulan Kajian Keradangan Okular Indo-China Ke-11, dan Simposium Profesional Kesihatan Bersekutu Oftalmik NBD yang pertama.


Perbincangan saintifik sepanjang kongres berkenaan merangkumi pelbagai topik termasuk pembedahan katarak dan refraktif, penyakit retina dan kornea, keradangan okular, diagnosis berasaskan AI, saringan retinopati diabetes, pengurusan trauma, serta kesihatan mata komuniti.


Dalam dekad yang lalu, NBD telah mencatatkan kemajuan ketara dalam memperluas dan memperkukuh perkhidmatan kesihatan mata. Sejak pengenalan perkhidmatan mata komuniti pada 2011, liputan kini telah meluas ke semua hospital kerajaan utama serta empat pusat kesihatan di seluruh daerah, sekali gus meningkatkan akses perkhidmatan dan mengurangkan masa menunggu pesakit.


Penganjuran AOS 2025 berkenaan menyerlahkan kepimpinan NBD yang semakin menonjol dalam bidang oftalmologi serantau serta komitmen berterusan negara dalam memperkasa sistem penjagaan kesihatan yang saksama, inovatif dan mampan untuk semua lapisan masyarakat.


Kongres Oftalmologi ASEAN Ke-7 menandakan detik bersejarah bagi NBD dalam meraikan semangat perpaduan, kemajuan dan kolaborasi profesional di bawah wawasan bersama 'Vision Beyond Borders'.


Melalui kerjasama serantau dan perkongsian kepakaran, AOS 2025 berhasrat untuk mempertingkatkan standard penjagaan kesihatan mata serta memperkukuh keupayaan kolektif ASEAN dalam memberikan perkhidmatan penglihatan yang berkualiti dan mudah dicapai oleh semua.


Turut hadir pada majlis berkenaan, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) Kementerian Kesihatan, Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yussof; Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Pengiran Dr. Haji Mohammad Khalifah bin Pengiran Haji Ismail; serta pengarah-pengarah, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.


Close